Friday, 7 September 2012

Alyah Menghiburkan Ratu Sirikit Thailand


Alyah hibur Permaisuri Thailand

Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BAGAIKAN rahmat sesudah selamat mengerjakan umrah pada Ramadan lalu, nampaknya rezeki penyanyi Kisah Hati, Noor Hasliah Hassan atau Alyah, 31, terus mencurah.
Selain diundang menjayakan pelbagai acara menarik seperti rakaman program hari raya bersama RTM dan Jomheboh TV3, Alyah kini ‘terbang’ pula ke kota Bangkok bagi menjayakan sebuah persembahan bertaraf antarabangsa iaitu Asean Music for the Queen.
Acara berkenaan akan berlangsung di Central World, Bangkok, esok (31 Ogos) sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 Permaisuri Thailand, Ratu Sirikit, yang jatuh pada 12 Ogos lalu.

Istimewanya, Alyah bersama setiap wakil penyanyi dari negara sekitar Asia Tenggara akan menyanyi di hadapan permaisuri serta berpeluang untuk membuat lawatan di kediaman diraja Thailand.

Dihubungi mengenai berita gembira itu, Alyah jelas tidak dapat menggambarkan betapa bersyukur dirinya diberikan peluang keemasan sedemikian.

“Saya sangat terharu kerana pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menaruh kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil negara pada tahun ini.

“Namun, dalam kegembiraan itu, ada terselit rasa sedih kerana acara itu jatuh pula pada tarikh bersejarah kita, Hari Kemerdekaan. Nampaknya buat pertama kali, saya akan berada di luar negara pada 31 Ogos, padahal setiap tahun saya akan menyambutnya di sini.

“Apa-apapun, bukan senang mendapat peluang sebegini dan agak gementar juga kerana penyanyi yang akan buat persembahan nanti bukan calang-calang.

“Mengenai persediaan pula, kali ini saya lebihkan kepada persediaan dari segi visual itu sendiri terutama busana yang akan dipakai nanti. Saya memilih untuk menggunakan rekaan Syahwadi pada malam itu nanti.

“Yang pasti, matlamat utama saya semestinya untuk memberikan persembahan terbaik dan mahu meninggalkan satu persembahan yang akan diingati Ratu Sirikit serta rakyatnya sampai bila-bila,” katanya yang akan menyanyikan lagu terbaru, Lena Sahara menerusi persembahan solonya nanti.

Asean Music for the Queen adalah anjuran Kementerian Kebudayaan Thailand dengan mengundang barisan penyanyi wanita popular dari negara anggota Asean iaitu Indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar, Laos, Singapura dan Brunei selain tuan rumah, Thailand.

Acara berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan baik sesama anggota Asean yang sedia terjalin. Selain nyanyian lagu popular dari negara masing-masing, artis terbabit juga akan menyanyikan lagu-lagu kegemaran Ratu Sirikit atas permintaan baginda sendiri.

Menyifatkan itu antara pencapaian terbesarnya selama berkecimpung dalam industri hiburan hampir kira-kira 12 tahun, Alyah juga berharap dia mampu memartabatkan nama Malaysia pada acara itu kelak.

Dalam pada itu, Alyah juga dijangka terbang ke Jakarta bulan depan untuk menjayakan penggambaran muzik video terbarunya, Lena Sahara. Ada juga ura-ura mengatakan, komposer tersohor Indonesia, Ahmad Dhani begitu berminat untuk menerbitkan album Alyah selepas tertarik dengan kualiti vokalnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/30



No comments:

Post a Comment